Kenapa masjid dan surau perlu dibina mengikut fasa?

Entri ini adalah susulan daripada entri sebelum ini iaitu ‘Aliran keluar masuk masjid’.

Ini juga hasil daripada analisa kami berdua selaku pengguna masjid dan surau. Berikut ialah masalah yang aku selalu perhatikan khususnya di surau dan masjid sekitar kawasan perumahan.

Hasil pemerhatian:
> Masjid dan surau yang aktif biasanya akan diubahsuai dibesarkan dalam masa 5-10 tahun selepas dibina.

Seperti yang aku tulis dalam entri sebelum ni, masalahnya apabila diubahsuai, akan berlaku kecacatan dari segi flow atau aliran keluar masuk dalam masjid dan surau.

Kajian kes

Aku akan bagi contoh masjid di Taman Keramat. Apabila ruang solat dah tak cukup untuk menampung jemaah, maka dibina ruangan annex. Ruangan wuduk juga telah diubahsuai. Baru-baru ini sebuah binaan khas untuk wuduk dan tandas telah dibina sedikit jauh dari masjid. Masjid tersebut ialah Masjid Al-Ansar AU2.

Kalau nak bagi contoh surau, aku rasa hampir 90% surau di sekitar Lembah Klang mengalami proses pembesaran yang drastik. Anda boleh lihat daripada struktur bumbung yang bersambung-sambung dan kedudukan bilik wuduk dan tandas yang sedikit janggal.

Cadangan penyelesaian:

> Rekaan masjid dibahagikan mengikut fasa-fasa tertentu

Ini adalah cetusan idea kami, bahawa masjid dan surau yang direka oleh arkitek hendaklah mengambil kira faktor pembesaran di masa hadapan. Tapi tak perlulah nak robohkan pula jika masjid dan surau tu dah siap dibina.

Dari segi pecahan fasa aku cadangkan begini.
Fasa 1 – dewan solat utama, ruang wuduk dan tandas
Fasa 2 – dewan solat tambahan, ruang makan, dapur, kawasan sembelih korban
Fasa 3 – sekolah agama / asrama tahfiz, pembesaran ruang wuduk & membina tandas kedua

Secara ringkas, aku dah hasilkan satu animasi ringkas untuk ketiga-tiga fasa dalam masjid. Ini hanyalah cadangan yang ideal dan tak semua surau & masjid boleh gunakan konsep sebegini.
mosque-layout-timelapse-2

Fasa 1 mungkin menelan belanja berjuta-juta ringgit. Tengok dulu sambutan ahli kariah dalam tahun-tahun terawal. Bila rasa dah tak dapat menampung jemaah bermusim seperti raya dan tarawih, bolehlah mula mengumpul dana untuk fasa kedua. Begitu juga dengan fasa seterusnya.

Tetapi yang penting sekali, design setiap fasa ini telah disusun atur dari awal pembinaan lagi. Aliran keluar masuk jemaah akan lebih terkawal selain sistem pengudaraan dan pencahayaan (ventilation & lighting) dapat berjalan dengan lancar.

Sekali lagi ingin aku tekankan, konsep ini sesuai untuk masjid & surau yang dibina sekitar kawasan perumahan dan juga memiliki tanah yang luas.

Aku tahu konsep ni agak ideal dan kita juga tak mampu ramalkan masa depan. Tapi cuba anda fikirkan, untuk merancang projek yang besar seperti bandar baru, atau projek perumahan mahupun apartment, para pemaju boleh berfikir berfasa-fasa jauh ke hadapan. Mengapa pula projek masjid dan surau tidak boleh sebegitu?

Jangan lupa untuk berkongsi pendapat anda dalam ruangan komen.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *