Keadilan itu namaku

Salam.

Sempena musim pilihanraya kali ini, aku rasa tergerak untuk menulis pandanganku yang menyentuh isu politik. Entri ni baru mukadimah ya.

Sebelum itu, kenapa aku tulis tajuk sebegitu? Ya, memang benar. Keadilan itu namaku. Namaku Ahmad ‘Adlan, merupakan perkataan dari bahasa Arab yang bermaksud ‘Yang terpuji keadilan’. Aku sangat berterima kasih kepada kedua ibubapaku yang memberikan nama yang mulia kepadaku.

Ada apa dengan nama?

Nama ataupun gelaran adalah sebuah doa. Setiap perbuatanku di dunia ini, aku akan pastikan dan aku tanya pada diriku sendiri, adakah aku berlaku adil dalam situasi tersebut?

“Nama je Adlan tapi tak adil pun?”

Mungkin kalau orang yang mengerti namaku (orang Arab memang tahu pun) akan memberikan persepsi yang aku ni pasti seorang yang adil.

Kadang-kala aku juga kecewa bila memikirkan nama orang itu seakan tak sesuai dengan akhlaknya. Tapi aku kagum juga kebanyakan orang yang bernama Akbar, memang berbadan besar.

Poligami

Dulu, pernah juga bermain di fikiranku, antara syarat untuk berpoligami itu hendaklah adil. Tapi hakikatnya, setelah aku mendirikan rumah tangga dengan seorang isteri, aku dapat rasakan adalah agak sukar untuk berlaku adil jika ada dua atau lebih.

“Berbahagialah dengan satu isteri” – Ust Hasrizal, Aku Terima Nikahnya.

Berlaku adil dalam urusan seharian

Dalam kehidupan seharian kita, memang setiap masa kita akan diuji dalam membuat keputusan, samada A atau B. Dalam membuat keputusan juga, kita hendaklah cuba untuk berlaku adil. Adil kepada diri sendiri dan juga adil kepada orang lain.

BACA ARTIKEL:   10 Lagu Nasyid Tokoh dalam Sejarah Islam

Allah s.w.t. telah mengurniakan akal supaya manusia dapat berfikir dengan waras dan rasional. Tapi, kadang kala aku rasa sedih juga apabila ada orang dalam ‘bulatan’ (baca: circles) aku yang mengamalkan taklid buta. Taklid ni maksudnya mengikut secara membuta tuli, tanpa memikirkan kesan dan akibatnya.

Bahaya kalau taklid ni. Manusia kena gunakan akal fikiran dalam membuat keputusan. Dalam membuat sesuatu keputusan itulah, kita hendaklah berlaku adil.

Umpama tuan hakim yang arif lagi bijaksana

Seorang hakim bukan saja arif lagi bijaksana, tetapi seorang hakim itu perlu adil. Hakim perlu mendengar hujah dan pembelaan dari kedua-dua belah pihak sebelum menjatuhkan hukuman.

Begitu juga dalam kehidupan kita ini. Kalau ada kawan kita yang bermasalah atau ditimpa fitnah, kita perlu berlaku adil. Kita perlu dengar apa yang berlaku dari mulut dia sendiri. Bahaya juga kalau dengar fitnah ni dari orang lain.

“Fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh” – Quran 2:191.

Rasanya itu dulu yang aku boleh tuliskan di dalam blog sempena hari Jumaat yang mulia ini. Semoga anda turut mendapat manfaatnya.

Wassalam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *