Lagu nasyid pernah melalui era kegemilangannya suatu ketika dahulu.Selain memuji nama Allah dan Rasul, tokoh-tokoh dalam sejarah Islam juga sering diceritakan dalam alunan lagu nasyid. Keindahan bait lagu nasyid telah membolehkan para pendengar mengenali serba sedikit tentang tokoh-tokoh Islam ternama.
Artikel ini akan berkongsi 10 lagu nasyid tokoh dalam sejarah Islam.
Table of Contents / Kandungan
1. Khalifah – Far-east
Lagu ini telah memperkenalkan empat orang ahli Khulafa Ar Rasyidin iaitu Saidina Abu Bakar as-Sidiq, Saidina Umar bin al-Khattab, Saidina Uthman bin Affan dan Saidina Ali bin Abi Talib.
2. Aku Hanyalah Umar – Hijjaz
Lagu yang didendangkan oleh Kumpulan Hijjaz ini pula mengisahkan tentang peribadi Saidina Umar al Khattab. Saidina Umar pada awalnya merupakan seorang yang menentang Islam tetapi akhirnya menjadi salah seorang pejuang Islam yang disegani.
3. Hamzah Asadullah – Inteam
Asadullah yang bermaksud Singa Allah adalah gelaran yang telah diberikan kepada Hamzah. Hamzah telah meninggal semasa berjuang bersama Rasulullah dalam Perang Uhud. Lagu ini menggambarkan kesedihan ketika tewasnya Hamzah dalam pertempuran.
4. Luqmanul Hakim – Mestica
Luqmanul Hakim merupakan tokoh Islam yang terkenal dengan kebijaksanaannya. Oleh kerana ketokohannya, namanya telah tercatat dalam Al-Quran dalam surah Luqman.
5. Siti Khadijah – Inteam
Lagu ini berkisarkan tentang peribadi isteri pertama Rasululah s.a.w iaitu Saidatina Siti Khadijah. Siti Khadijah telah menjadi peneman kepada Rasulullah s.a.w dalam memperjuangkan agama Allah.
6. Aisya Humaira – UNIC
Selain itu, UNIC juga menceritakan tentang isteri Nabi dalam lagu Aisya Humaira. Aisya merupakan isteri terakhir Nabi Muhammad s.a.w yang memangku Nabi saat kewafatannya.
7. Rabiatul Adawiyah – Inteam
Kumpulan Inteam ada juga mendendangkan lagu yang berkisarkan kisah hidup Rabiatul Adawiyah, seorang tokoh wanita yang penting dalam sejarah Islam. Bermula dengan keadaan jahil, Rabiatul Adawiyah akhirnya memilih jalan sufi mencari keredaan Allah. Dia telah menjadi tauladan kepada kaum wanita sebagai seorang yang mengabdikan dirinya kepada Allah S.W.T.
8. Bilal bin Rabah – All One
All One dalam lagu mereka Bilal bin Rabah pula menceritakan kisah hidup Bilal. Bilal adalah muazzin pertama dalam sejarah Islam. Bilal merupakan seorang hamba yang berkulit hitam yang sering mendampingi Nabi Muhammad s.a.w. Bilal telah diberikan kepercayaan untuk melaungkan azan pertama di Masjid Nabawi.
9. Sumayyah – Hijjaz
Lagu ini telah menceritakan tentang wanita pertama yang syahid iaitu Sumayyah. Meskipun menerima seksaan kerana mempertahankan Islam, Sumayyah dan keluarganya tetap tabah menghadapi segala dugaan dengan menyebut kalimah “Ahad, Ahad”.
10. Zinnirah – UNIC
Zinnirah ialah seorang hamba yang diseksa oleh tuannya sehingga menjadi buta. Namun, dia tetap beribadah dengan tekun dan akhirnya dikurniakan semula penglihatan. Peristiwa ini menyebabkan telah ramai kaum Quraisy memeluk Islam.
Kesimpulannya
Lagu-lagu nasyid bukan sahaja merdu alunannya tetapi juga dapat mendidik para pendengar. Semoga dengan mendengar lagu-lagu ini anda dapat mengenali tokoh-tokoh dalam sejarah Islam.
Anda juga boleh membaca tentang Konsep Sedekah di sini.