sedekah

Sedekah: Konsep dan Kenapa Perlu Bersedekah

Sedekah. Kenapa kita perlu bersedekah? Sedekah bermaksud pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan secara sukarela dan ikhlas tanpa dibatasi oleh waktu dan jumlah tertentu dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Rasa Bahagia dalam Sedekah

Hidup ini penuh dengan pemberian rezeki dari Tuhan dan kita seharusnya berasa bersyukur dengan segala nikmat yang Tuhan beri kepada kita. Oleh sebab itu, kita seharusnya  berkongsi dengan orang yang memerlukan. Sesungguhnya, dengan berkongsi rezeki kepada orang lain bukan hanya membahagiakan orang lain, tetapi kita juga sedang membahagiakan diri sendiri.

Pancinglah Rezeki dengan Sedekah

Apabila kita memberi sedekah kepada orang yang memerlukan, kita sebenarnya sedang memancing rezeki lagi. Maksudnya di sini, apabila kita memberi dengan niat yang ikhlas, kita akan mendapat pulangan yang banyak yang tidak disangka-sangka. Oleh itu, janganlah kita berkira-kira untuk berkongsi rezeki dengan orang lain.

Sedekah itu Bukan Hanya pada Wang Ringgit

sumber: Unsplash

Kita harus faham bahawa konsep sedekah itu sifatnya universal. Sedekah itu bukan hanya pada wang ringgit semata-mata.

Abu Dzarr berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“ Senyummu kepada saudaramu ialah sedekah bagimu, kamu memerintah kepada kebaikan dan melarang kemungkaran ialah sedekah, kamu memberi petunjuk kepada seseorang yang sesat di jalan ialah sedekah, kamu melihat kepada seseorang yang tidak dapat melihat dan menolongnya ialah sedekah, kamu menghilangkan batu, duri dan tulang di jalan ialah sedekah bagimu dan kamu memasukkan air ke dalam timbamu ke timba saudaramu ialah sedekah bagimu.” ( Hadis Riwayat Tirmizi)

BACA ARTIKEL:   8 Idea Jana Pendapatan Pasif pada Tahun 2023

Kelebihan Sedekah

Terdapat banyak manfaatnya apabila kita menjadikan sedekah sebagai amalan dalam kehidupan kita, iaitu:

  1. Menghapuskan dosa
  2. Menolak bala
  3. Dimurahkan rezeki
  4. Menyembuhkan penyakit
  5. Sedekah membuka pintu syurga
  6. Membawa berkat kepada kehidupan
  7. Amalan yang tidak putus sampai mati

Syarat dalam Sedekah

Terdapat dua syarat yang perlu kita tahu apabila ingin bersedekah, iaitu:

  • Sumber yang halal

Sumber yang halal penting dalam pemberian sedekah kerana Allah SWT tidak menerima wang sedekah yang bukan hak orang yang bersedekah. Carilah rezeki yang halal untuk melakukan amalan sedekah ini

  • Ikhlas

Ikhlas juga penting dalam memberi kerana Allah SWT tidak suka timbul sifat riak yang ada dalam diri apabila bersedekah. Contohnya, bersedekah untuk menunjuk-nunjuk jumlah yang diberikan kepada orang lain. Jauhi sifat ini dalam bersedekah agar hidup kita sentiasa diberkati oleh Allah SWT.

Jangan Menunggu Kaya untuk Sedekah

Sumber: PPDK

Amalan sedekah ini bukan untuk golongan kaya sahaja, tetapi untuk semua golongan. Orang yang tidak memiliki harta pun boleh bersedekah mengikut kemampuan. Apa yang penting adalah keikhlasan yang lahir daripada hati dalam memberi sedekah. Oleh itu, janganlah kita menunggu kaya untuk bersedekah kepada golongan yang memerlukan.

Nabi Muhammad SAW pernah berkata, maksudnya;

 “ Bersedekahlah kamu sebelum datangnya waktu kamu tidak mampu bersedekah. Setiap orang boleh memberikan apa-apa sahaja, dinar, dirham, pakaian, gandum, kurma, bahkan apabila kamu hanya boleh memberikan separuh kurma, maka berikan.”

Sedekah merupakan amalan sunat yang selalu disebut dalam Islam. Sedekah juga sebenarnya menandakan tahap keimanan seseorang dan bukti ketaatan kepada Allah SWT terhadap nikmat rezeki yang diperoleh. Justeru, orang beriman yang memahami konsep sedekah itu akan meyakini bahawa sedekah merupakan amalan terpuji yang dapat menyucikan diri dan harta serta pahalanya berkekalan hingga ke hari pembalasan kelak.

BACA ARTIKEL:   8 Idea Jana Pendapatan Pasif pada Tahun 2023

Konklusinya,

Ayuhlah kita muhasabah diri, sejauh manakah kita mengaplikasikan amalan sedekah ini dalam kehidupan kita seharian? Jom! Jadikan sedekah sebagai satu amalan kita setiap hari walaupun hanya dengan satu senyuman kepada orang lain.

Sekiranya berminat untuk info lanjut berkaitan kenapa kita perlu bersedekah, boleh dapatkan e-book Rahsia Sedekah. 

rahsia-sedekah_ebk
Klik gambar untuk dapatkan e-book.

Baca artikel tentang konsep minimalis dalam Islam di sini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *