Salah satu projek design yang aku buat untuk majlis perkahwinanku pada hujung 2010 ialah avatar kartun versi chibi (comel).
Sejak aku kongsikan gambar kartun tersebut, walaupun pada resolusi yang rendah, ramai juga graphic designer di luar sana yang sesuka hatinya menggunakan kartun itu samada dengan kebenaran mahupun tidak. Kesilapan besar aku ialah tidak meletakkan amaran dan watermark yang jelas.
Kemudian aku telah pun menulis satu entri berkenaan lesen ‘Creative Common’. Menurut lesen tersebut, kartun itu boleh digunakan dan diolah mengikut kreativiti masing-masing.
Bukan untuk tujuan perniagaan
Yang penting ialah bukan untuk tujuan komersil, seperti menjual produk yang menggunakan kartun tersebut. Setakat yang aku tahu, ada satu produk Jamu Seri Pengantin dan juga fridge magnet menggunakan kartun itu.
Kalau design kad kahwin sendiri dan guna kartun tu pun OK. Tapi ada juga syarikat kad kahwin yang meletakkan kartun tersebut pada design kad mereka dan mengaut keuntungan besar dengan design kartun tersebut! Dah la main ambil je, royalti memang aku tak dapatlah.
Layari blog My Kartun Kahwin
Sebenarnya aku sedikit geli hati dan seronok melihat apa yang orang lain dah buat dengan kartun ni. Itulah sebabnya aku membuat sebuah blog ringkas di Tumblr, dengan menghimpunkan gambar-gambar di mana kartun ini digunakan sejak 2011 hingga sekarang.
Aku dah jadualkan 1 gambar 1 hari selama seminggu. Boleh la jenguk-jenguk. Jika anda juga ada terserempak dengan kartun kahwinku, mohon kongsikan melalui link ‘Submit‘ atau emelkan kepadaku.