Wanita mana yang tidak tertarik melihat gambar jualan tudung yang cantik tersusun mengikut skema warna? Ditambah pula dengan model yang menggayakan blaus rekaan terkini serta seluar palazzo yang kelihatan selesa. Itulah antara penarik yang ada pada Iyliamalek, sebuah jenama yang semakin mendapat perhatian remaja.
Iyliamalek bukanlah satu nama yang asing lagi dalam industri perniagaan atas talian. Sebut saja nama Iyliamalek, pasti ramai pengguna media sosial yang mengenali jenama itu.
Table of Contents / Kandungan
BERMULA DENGAN DROPSHIP
Pada awalnya Iylia tertarik melihat salah seorang rakan baiknya mempromosikan jualan minyak wangi di facebook. Jadi dia mula turut serta menjual dengan mendapat komisyen sebanyak RM2.50 sebotol. Tidak lama selepas itu dia menjadi dropship beberapa buah perniagaan yang lain.
Antara barangan yang dijual adalah pakaian kanak-kanak, barangan elektrik, pakaian wanita dan beg tangan wanita. Menurut Iylia, dia pernah menjadi dropship kepada hampir lapan jenama pakaian. Disebabkan itu dia menjadi kurang fokus kerana tidak tahu yang mana satu patut diutamakan.
BELAJAR PEGANG STOK SENDIRI
Kata Iylia, pada awalnya dia kurang menyimpan duit keuntungan menjadi dropship. Duit itu banyak dibelanjakan ketika dia sedang belajar di peringkat diploma.
Ketika cuti panjang sebelum menyambung pelajaran ke peringkat ijazah, Iylia mula tekad untuk fokus hanya kepada tiga jenama sahaja. Dengan menggunakan saki baki keuntungan yang diperolehi ketika menjadi dropship, Iylia mula membeli beberapa helai skirt chiffon di Kenanga Wholesale City.
MULA RASA TAMAK
Setelah skirt chiffon yang dijual mendapat sambutan, Iylia kembali ke Kenanga Wholesale City membeli barangan lain untuk dijual. Setiap kali melihat pakaian yang cantik dan menarik, dia akan terus memesan stok pada pembekal.
Akibatnya, banyak pakaian yang tidak terjual. Malah duit di dalam akaun juga sudah habis digunakan.
KEMBALI FOKUS
Iylia mula mengambil keputusan untuk kembali fokus menjual skirt chiffon. Dia turut menggunakan teknik personal branding, iaitu dengan menggayakan sendiri pakaian yang dijual.
Teknik personal branding dapat membezakan dan memperlihatkan keunikan seseorang penjual. Dengan cara itu juga, pelanggan akan lebih tertarik dan mempercayai mereka.
IYLIAMALEK HARI INI
Usaha keras Nur Iylia Malek ternyata membuahkan hasil. Setelah beberapa tahun mengasas Ladyscabinetshoppe atau kini lebih dikenali sebagai Iyliamalek Empire, perniagaannya makin dikenali ramai.
Jika dahulu mereka terkenal dengan perniagaan seluar palazzo, kini mereka turut dikenali dengan tudung bawal serta blaus yang mempunyai pelbagai jenis rekaan. Terbaru, Iylia kini mula fokus untuk mengeluarkan tudung jenis sarung dan selendang.
Menurut Iylia, siapa Iyliamalek hari ini adalah disebabkan oleh doa dan restu kedua ibu bapanya. Mereka banyak menyokong serta sentiasa ada pada jatuh bangun Iyliamalek.
Iylia juga sering berpesan agar tidak berkira untuk berkongsi rezeki dengan keluarga. Kerana itu juga adalah salah satu kunci untuk kita berjaya bukan sahaja dalam perniagaan, malah dalam kehidupan.
PENUTUP
Walaupun kini perniagaannya makin dikenali ramai, Iylia tidak pernah kedekut untuk berkongsi ilmu dan pengalaman. Dia sering membuat sesi perkongsian bersama team untuk memastikan mereka tidak berputus asa mempromosikan jenama Iyliamalek disamping menjana pendapatan sampingan.
Sikapnya yang terbuka dan sentiasa berfikiran positif membuatkan orang selesa bekerja dengannya. Malah, Iylia yang juga sentiasa mesra dengan pengikutnya di Instagram membuatkan orang lebih mudah bergaul dan mengenali jenama Iyliamalek dengan lebih baik.
Semestinya impian untuk membuat bisnes boleh dicapai walaupun hanya dengan membuat dropship sebagai langkah pertama. Jika anda berminat dan serius untuk membina empayar anda sendiri, dapatkan ebook bisnes tudung di sini.
Baca cara lain untuk jana pendapatan online di sini.