Assalam kepada semua pembaca.
Sejak aku berpindah ke Ipoh pada tahun lepas, kami tidak memiliki TV. Lagipun bila tinggal di rumah sendiri, TV ni rasanya bukan keutamaan. Maka, kami pun tak beli TV dan menikmati kehidupan tanpa TV sehingga kini.
Table of Contents / Kandungan
Ketiadaan TV ke arah gaya hidup yang minimalis.
Klik sini jika anda belum pernah membaca mengenai gaya hidup minimalis. Dari segi pemilikan barang, aku dah banyak berjimat. Tahukah anda kalau ada TV, nafsu kita akan mendorong kita untuk membeli macam-macam lagi perkara berkaitan TV. Antaranya:
- meja atau kabinet TV – mesti ada tempat nak letakkan TV
- extension cable – nak tarik kabel dari power point ke tempat TV
- antenna luar – kalau nak dapat liputan TV dengan cantik
- ASTRO – kalau nak tengok lebih banyak saluran
- DVD / BluRay player – kalau nak layan movie
- set sofa – mesti nak duduk dengan selesa depan TV
- meja kopi (coffee table) – sambil menonton nak makan dan minum
- Apple TV – boleh la menonton Youtube secara streaming
- set home teater – baru sedap layan movie dengan bunyi sekeliling berdentum
dan senarai ini berterusan. Anda nampak tak permainannya di situ? Anda akan rasa nak beli banyak perkara lain dan membelanjakan sejumlah wang yang besar tanpa disedari. Maka hal ini gagal menepati konsep gaya hidup minimalis. Semua berpunca dari TV.
Alternatif kepada TV ialah Internet
Ya, zaman sekarang ni, aku percaya aku dan ramai lagi diluar sana lebih memerlukan internet daripada TV. Banyak juga kelebihan menggunakan internet secara terkawal.
Salah satu contohnya apabila menonton di Youtube. Di Youtube, anda boleh menonton apa yang anda nak tonton. Anda tak perlu terkejar-kejar sebab boleh menonton pada bila-bila masa.
Tiada pengaruh iklan
Anda boleh menggunakan Adblock Plus untuk menghalang iklan dari browser internet anda seperti Chrome, Firefox dan Opera. Tahukah anda apa tujuan pengiklanan? Mereka nak menanam dalam minda bawah sedar kita supaya membeli produk dan servis mereka. Itu sebabnya iklan ditayang berulang-ulang.
Maksudnya di sini, bila tak menonton atau melihat iklan, aku boleh membuat keputusan yang lebih tepat dalam membeli barang dan tidak mudah terpengaruh. Kalau setiap hari menonton iklan kereta baru, kita akan terasa seperti nak beli kereta. Tengok iklan telefon baru, rasa nak tukar telefon. Begitulah dahsyatnya kuasa pengiklanan dan media.
Kembali merujuk kepada gaya hidup minimalis, kita hanya beli barang yang perlu. Tak perlu beli barang sebab nak ikut trend semasa dan akhirnya membazir apabila tak digunakan.
Kelebihan kepada anak kecil
Bayi akan menjadi lebih pintar
Banyak kajian yang membuktikan TV tidak elok untuk tumbesaran mental & fizikal seorang bayi. Alhamdulilah anak kami membesar tanpa TV di rumah. Si kecil lebih aktif dan responsif, bergerak ke sana ke mari, mencuba benda-benda baru dan bermain dengan permainan dan peralatan sekeliling.
Anak terdedah kepada dunia luar bukan dunia dalam kotak televisyen
Ini juga antara kelebihan kepada anak kecil. Mereka berpeluang untuk meneroka dunia realiti, dunia sebenar dengan deria mereka sendiri.
Satu lagi apabila tiada TV di rumah, ibu bapa akan lebih memandang anak, bukan memandang TV.
Tidur awal pada waktu malam
Aku ni jenis kalau menonton movie di TV, aku akan sanggup tunggu walaupun habis lambat. Kalau menonton TV3, dulu-dulu akan bersambung selepas Nightline jam 12 tengah malam. Bila tiada TV di rumah, aku boleh tidur awal di rumah. Dengan syarat laptop pun dah ditutup.
Sekian itu sahaja yang boleh aku kongsikan pengalamanku hidup tanpa TV. Anda pula bagaimana? Sanggup tak berkorban sedikit demi kesejahteraan masa hadapan?
Salam, this one pretty good. can i copy and share this article for education purposes? kindly pls revert to my email. thanks. Rizz.
Salam.
Yes you can share this article. Don’t forget to give proper citation and credits.
Thank you.